JOHOR BAHRU 3 Mac – Pelaksanaan program Ziarah Cakna yang digerakkan Kementerian Pendidikan sejak awal tahun ini membantu pendaftaran 98 peratus murid peringkat sekolah rendah di seluruh negara bagi mendapatkan pendidikan peringkat awal.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, dua peratus yang belum berdaftar dipercayai adalah bukan warganegara serta terdiri daripada keluarga miskin dan kurang berpengetahuan tentang kepentingan pendidikan.
Katanya, program Ziarah Cakna itu menggalakkan warga pendidik membantu anak-anak daripada mengalami masalah keciciran pelajaran serta berkongsi perkembangan murid dan memahami latar belakang keluarga mereka.
“Menerusi program terbabit, kita sudah membantu pendaftaran 98 peratus murid bagi sekolah rendah dan baki dua peratus itu adalah mereka daripada golongan bukan warganegara Malaysia.
“Kita juga sudah mulakan proses mendaftar untuk masuk ke sekolah kerajaan, maksudnya mereka boleh menunjukkan sijil lahir atau perintah mahkamah yang mereka adalah warganegara Malaysia supaya diterima masuk ke sekolah kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Pusat Jagaan Kanak-kanak Brainy Bunch di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). – UTUSAN ONLINE











