PASIR GUDANG 13 Mac – Seramai 506 mangsa baharu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini direkodkan pada hari ini sekali gus menjadikan keseluruhannya kini berjumlah 975 orang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mangsa yang dilaporkan itu sudah diberi rawatan mengikut tahap kesihatan masing-masing.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 166 daripadanya telah dimasukkan ke dalam wad dan sembilan daripada mereka ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Selain itu, laporan yang mengatakan adanya kematian berhubung insiden ini dalam media sosial adalah tidak benar.
“Berhubung pemandu ambulans kesihatan yang dilaporkan sebelum ini, individu tersebut semakin pulih dan dipindahkan ke wad biasa,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, Jabatan Kesihatan negeri sudah menggerakkan enam pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru dengan menempatkan mereka di dua buah pusat rawatan awal di sini.
“Sementara itu, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak berada di kawasan yang terjejas khususnya di kawasan sungai berkenaan.
“Sebarang aktiviti luar di kawasan sekitar juga perlu dielakkan sehingga kawasan ini benar-benar selamat,” katanya.
Dzulkefly turut menasihati masyarakat untuk menggunakan topeng muka jenis R95 bagi mengurangkan kemungkinan terdedah dengan pencemaran toksik. – UTUSAN ONLINE











