JOHOR BAHRU 3 Mac – Seramai 808 orang dipilih untuk menerima sijil tawaran(RIBJ) Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee peringkat kedua di Kompleks Mutiara Johor Land.
Memuatkan artikel berkaitan…
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyempurnakan gimik penyerahan kepada 20 penerima rumah berkenaan dalam Majlis Penyerahan Sijil Tawaran RIBJ di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad dan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.
RIBJ merupakan cetusan idea Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang prihatin mengenai permintaan rakyat Johor untuk mendapatkan rumah kediaman yang selesa dan mampu milik dilancarkan pada 22 Mac 2017, lebih 350,000 orang telah membuat permohonan.
Selepas melalui pelbagai saringan terperinci melalui sistem RIBJ, seramai 1,809 permohon disenarai pendek berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan pada November tahun lalu, seramai 35 dipilih menerima sijil tawaran RIBJ peringkat pertama.
Kamaruzzaman berkata, penyerahan sijil tawaran RIBJ bagi kedua-dua projek itu dibuat berdasarkan kuota 50 peratus Melayu, 30 peratus kaum Cina dan 20 peratus kaum India dan lain-lain mengikut kriteria dan juga pilihan pemohon.
“Pada masa ini, pembinaan 488 unit RIBJ di Bandar Dato’ Onn dijangka disiapkan sepenuhnya dan pemilikan kosong diserahkan kepada bakal pembeli pada penghujung tahun 2020 manakala Bandar Baru Majidee pula, pembinaan membabitkan 320 unit pangsapuri dan dijangka dapat diserahkan kepada pembeli pada hujung tahun ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk proses permohonan RIBJ dan semua perkara berkaitan dilaksanakan YSIJ menerusi dalam talian atau di pejabat yayasan itu. – UTUSAN ONLINE











