TEMERLOH 4 Mac – Kira-kira 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara diancam hilang pekerjaan jika Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baharu tahun ini.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor-Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) negeri, Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad berkata, format itu perlu dikaji semula bagi mengelakkan lebih ramai rakyat kehilangan pekerjaan.
Katanya, cadangan kementerian itu untuk mengurangkan jumlah pekerja mengikut format tender baharu tersebut memberi impak negatif kerana menganiaya pekerja yang majoritinya adalah Melayu.
“Di Pahang sahaja, dianggarkan terdapat 6,000 pekerja semasa yang akan dikurangkan 50 peratus, bermakna 3,000 orang kehilangan kerja.
“Di seluruh negara, pekerja semasa seramai 90,000 orang akan dikurangkan sebanyak 50 peratus menyebabkan 45,000 orang kehilangan punca rezeki mereka,” katanya selepas Mesyuarat Agung Kosppem negeri di Mentakab di sini hari ini.
Menurut Tengku Abu Nirah, antara sebab kerajaan membuka ruang kepada kontraktor untuk memberi perkhidmatan pembersihan di sekolah adalah bagi membantu masyarakat kampung dan Felda mendapat peluang pekerjaan.
Katanya, kebanyakan mereka sudah lama berkhidmat dengan cemerlang tanpa masalah, malah meningkatkan keceriaan bangunan dan kawasan sekolah.
“Penswastaan Kerja pembersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) bermula pada 1994 berjaya meningkatkan kualiti keceriaan dan persekitaran sekolah di seluruh negara.
“Sepatutnya Kementerian Pendidikan mencari formula tender untuk menambah bilangan pekerja bukan mengurangkan secara drastik berikutan pertambahan pelajar dan bangunan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











