JOHOR BAHRU 3 Mac – Membersihkan kandang haiwan dan kawasan sekitar zoo termasuk menyedia dan memberikan haiwan makanan menjadi pengalaman baharu dan tidak akan dilupakan 41 ahli Kelab Mesra Alam, Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB).
Mereka yang terdiri daripada 23 penuntut Semester 3 bagi Program Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan, Diploma Keusahawanan serta Diploma Kewangan dan Perbankan Islam dan 18 pensyarah menyertai aktiviti berkenaan di Zoo Melaka baru-baru ini.
Penyelia program, Diana Lee Phooi Yan berkata, aktiviti itu merupakan program tanggungjawab sosial koporat (CSR) pihak PMJB yang bertema Menyayangi Alam anjuran kelab berkenaan.
“Tujuan utama program ini untuk memberi kesedaran kepada pelajar pentingnya menyayangi alam sekitar dan menjaga habitat haiwan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Program ini juga untuk menyempurnakan projek pelajar di bawah mata pelajaran Ko-Kurikulum–Mesra Alam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, program yang bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang itu memberikan peluang kepada mereka pengalaman sebenar dalam mengurus dan menjaga haiwan serta berpeluang mendekati
pelbagai jenis binatang secara langsung.
“Pihak PMJB amat berterima kasih kepada pihak Zoo Melaka kerana memberi peluang dan kerjasama dalam menjayakan program ini,” ujarnya.
Katanya, program CSR seumpama itu akan diadakan secara berkala bagi mendidik dan menerapkan perasaan kasih sayang dalam kalangan pelajar serta memberi sumbangan kepada masyarakat. –
UTUSAN ONLINE











