LONDON 4 MAC – SELEPAS berita penderitaan seorang kanak-kanak penghidap leukemia tersebar, lebih 4,200 penderma sel stem dari seluruh United Kingdom (UK) tampil melakukan ujian padanan tisu bagi membantu menyelamatkan nyawa budak berusia lima tahun itu.
Lapor Metro.co.uk, Oscar Saxelby-Lee yang disahkan menghidap leukemia pada 28 Disember lalu hanya diberi tempoh tiga bulan untuk hidup melainkan kanak-kanak itu berjaya mendapat sel stem baharu daripada penderma.
Sel stem baharu ini adalah bagi membolehkan pemindahan sum-sum tulang daripada penderma kepada penerima untuk menjana semula sistem darah.
Berikutan itu, sebuah kempen digelar ‘Hand in Hand for Oscar’ digerakkan untuk mencari penderma bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
Ibu Oscar, Olivia, 23, memberitahu, sejak disahkan menghidap leukemia, anaknya telah menjalani rawatan kemoterapi selama empat minggu dan lebih 20 pemindahan darah di Hospital Kanak-kanak Birmingham, di sini.
“Meskipun kami tidak melihat sebarang cahaya di hujung terowong namun melihat senyuman Oscar yang comel, keberanian dan tekadnya melawan penyakit itu, kami terpaksa menguatkan semangat dan terus berjuang,” katanya.
Sambil menyifatkan Oscar sebagai ‘pahlawan’ sebenar, Olivia memberitahu, anaknya itu mengajar dan mengingatkan mereka sekeluarga supaya lebih kuat.
“Dia tidak pernah sekali pun menunjukkan kelemahan dan ia memukau kami sekeluarga untuk terus berdepan dengan saat-saat sukar ini,” katanya. – AGENSI











