330 karton rokok bernilai RM29,000 dirampas - Utusan Malaysia

330 karton rokok bernilai RM29,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT  – Sebanyak 330 karton rokok seludup bernilai RM29,000 berjaya dirampas oleh polis daerah ini selepas menahan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Kuala Jambu, di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 malam, penahanan dilakukan oleh  anggota kereta peronda (MPV) selepas kenderaan itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Wakaf Zin dekat Cabang Empat Tumpat .

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud berkata, anggota MPV mengarahkan pemandunya berhenti namun suspek memecut laju kenderaannya sehingga terpaksa dikejar sejauh lima kilometer.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penyeludup itu telah memasuki satu lorong ke arah Kampung Kuala Jambu dan menemui jalan mati. Pemandu kereta itu bertindak agresif apabila merempuh kenderaan MPV polis secara mengundur ketika cuba ditahan.

“Penyeludup dipercayai seorang lelaki tempatan segera melarikan diri ke dalam semak dan berjaya lolos akibat keadaan gelap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya,  hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 330 karton rokok kretek jenis Gudang Garam dengan anggaran nilai sebanyak RM29,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Jelasnya, kes tersebut akan diserahkan kepada pihak Kastam dan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1957.

Sementara itu dalam perkembangan sama, beliau memberitau Bahagian Narkotik IPD Tumpat juga berjaya merampas sebanyak 208 botol cecair kodein bernilai RM2,080 selepas menahan dua suspek di sebuah rumah di Kampung Padang Rokma, di sini, pada pukul 6.30 petang kelmarin.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 20 hingga 30 tahun yang juga positif Methamphetamine itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini