TANJONG KARANG – Sebanyak 25 buah motosikal pelbagai jenama musnah dalam kebakaran di sebuah bengkel membaiki motosikal di Kampung Sungai Gulang-gulang, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pemilik bengkel itu, Azman Kusban, 44, berkata, kejadian disedari anaknya, Muhamad Sahrolnizan Azman, 16, yang terjaga selepas terdengar bunyi letupan dari arah bengkel motosikal tersebut.
Katanya, jarak rumahnya ke bengkel itu kira-kira 10 meter.
“Anak saya sangka bunyi letupan itu adalah bunyi petir namun sangkaan itu meleset apabila mendapati berlaku kebakaran di bengkel itu.
“Risau perkara buruk berlaku, Muhamad Sahrolnizan segera menghubungi pihak bomba,” katanya di sini hari ini.
Azman menegaskan, kesemua motosikal yang musnah merupakan milik pelanggan dengan bengkel itu diusahakan sejak 33 tahun yang lalu.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Arbain Saarani berkata, seramai tujuh anggota termasuk beliau bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 5.44 pagi.
Ujar beliau, pemadaman api turut dibantu BBP Kuala Selangor dengan kekuatan tujuh lagi anggota.
“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya 45 minit kemudian dengan jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE











