BUTTERWORTH 10 Mac – Polis menahan dua lelaki selepas dikesan menunggang motosikal dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia 39 dan 51 tahun itu ditahan dalam operasi selama empat jam berakhir pukul 4.30 pagi tadi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas ujian pernafasan mendapati kepekatan alkohol mereka melebihi paras 80 miligram (mg)/100 mililiter (ml) yang ditetapkan.
“Mereka diuji menggunakan alat pengesan kepekatan alkohol iaitu EBA II melalui pernafasan.

“Hasil ujian tersebut mendapati kedua-duanya melebih had yang ditetapkan iaitu masing-masing 91mg/100ml dan 151mg/100ml,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kedua-dua suspek yang bekerja sendiri itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Noorzainy menasihatka orang awam supaya tidak memandu atau menunggang motosikal ketika di bawah pengaruh alkohol kerana boleh membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. – UTUSAN ONLINE











