KUALA LUMPUR 14 Mac – Sebanyak 14 lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia berhampiran sempadan perairan antarabangsa di Tanjung Datu, Sematan, Kuching, Sarawak kelmarin berkemungkinan akan dibebaskan petang ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, pihaknya telah menerima berhubung kejadian tersebut semalam sebelum memaklumkan kepada Ibu Pejabat Putrajaya untuk tindakan selanjutnya bagi membantu membebaskan kesemua rakyat Malaysia terbabit.
Ujarnya, hasil maklumat yang diperoleh, kesemua mereka yang ditahan terdiri 11 pemancing dan tiga kru ditahan pihak berkuasa negara jiran itu ketika melakukan rondaan berhampiran perairan tersebut.
“Ini kali pertama perkara seumpama ini berlaku di perairan negeri ini. Sehubungan itu, satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE











