DUBAI 1 Mac – Sebanyak 12,674 peluang pekerjaan bakal diwujudkan apabila siapnya Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di negeri Perlis pada tahun 2025 nanti.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kawasan tersebut yang dibangunkan dalam tiga fasa dengan keluasan 2,492 ekar.
Baginda bertitah demikian kepada Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Datuk Yubazlan Yusof dalam satu majlis santapan malam yang dihoskan oleh usahawan, Hesham Hafeez di sini, malam semalam.
Baginda berkenan singgah di UAE dalam keberangkatan pulang ke tanah air sejurus menghadiri ‘Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2019’.
Mengiringi baginda ialah anakanda kedua, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tambah baginda lagi, kawasan tersebut mempunyai tiga kluster utama iaitu ‘Industri Hijau’ yang meliputi komponen Automotif, Bahan Binaan, Elektrik dan Elektronik serta Kemudahan Sokongan dan Pelaburan Pengurusan Modal.
Kluster kedua adalah ‘Industri Halal’ merangkumi Farmasi, Nutraseutikal, Makanan dan Minuman, Modal Insan serta Infrastruktur, diikuti kluster ketiga iaitu ‘Generasi Tenaga Boleh Diperbaharui’ yang khusus melibatkan pihak swasta. – UTUSAN ONLINE










