100PLUS tawar 100 penyertaan percuma KL Maraton - Utusan Malaysia

100PLUS tawar 100 penyertaan percuma KL Maraton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Mac – Berita gembira buat semua peminat sukan larian di Malaysia apabila produk minuman isotonik, 100PLUS menawarkan 100 penyertaan percuma kepada orang ramai untuk menyertai acara maraton terbesar di negara ini iaitu Standard Chartered KL Maraton yang akan berlangsung pada 29 September ini.

Selepas penyertaan bagi acara itu menerusi saluran rasmi termasuk menerusi cabutan nama baru-baru ini telah habis dipenuhi, 100PLUS sebagai rakan rasmi larian tersebut tampil menyediakan peluang buat para peserta untuk beraksi menerusi peraduan SCKLM 100PLUS.

Pengarah Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Graham Lim berkata, kehadiran semula 100PLUS dalam larian maraton terbesar Malaysia itu pastinya dinanti-nantikan oleh orang ramai.

“Semua yang terbabit dalam Maraton KL tahun ini pasti teruja dengan kehadiran semula 100PLUS untuk menghidrasikan mereka kali ini.

“100PLUS akan menyediakan stesen-stesen minuman sepanjang laluan untuk manfaat dan kemudahan 38,000 pelari pada acara itu nanti,” kata Graham Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai yang berminat untuk memperoleh penyertaan percuma hanya perlu menyertai peraduan laman Facebook 100PLUS (https://www.facebook.com/my100plus/) mulai esok sehingga 18 Mac ini.

Sebagai tambahan kepada stesen-stesen minuman yang disediakan, 100PLUS menyenaraikan beberapa aktiviti menarik bagi mewujudkan pengalaman unik untuk setiap orang pada acara tersebut.

Antara lain termasuk pasukan-pasukan sorak yang akan ditempatkan di lokasi strategik di sepanjang laluan bagi menyemarak semangat pelari untuk memberikan yang terbaik. Ruang dan pondok pengaktifan disediakan di garisan penamat untuk kemudahan para peserta dan peminat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN