JOHOR BAHRU 3 Mac – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menimbang untuk meluluskan lesen kepada 500 hingga 1,000 penjaja jalanan di sekitar bandar raya ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A. Rahman berkata, permohonan mereka sedang diperhalusi kerana banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum dibenarkan berniaga.
Beliau berkata, status mereka ada antaranya tidak memiliki lesen dan selebihnya sedang memohon untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak MBJB.

“Perkara ini bukan bermaksud pihak MBJB enggan meluluskan permohonan tetapi perlunya penilaian teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Ini juga berpunca daripada keengganan penjaja sendiri untuk mematuhi ketetapan majlis bandar raya melibatkan pelbagai aspek terutama keselamatan dan kebersihan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Fiesta MBJB sempena sambutan Jubli Perak MBJB 1994-2019 di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini baru-baru ini.
Amran berkata, pihaknya juga memerlukan masa untuk menyemak setiap permohonan yang dibuat memandangkan setiap keputusan perlu dielak daripada merencatkan perancangan bandar raya.
“Kita tidak boleh nak melayan semua sebab akan mengganggu perancangan bandar, mereka ini merata-rata. Kita tidak mahu nanti penjaja sesuka hati membuka khemah dan letak kerusi meja di tempat tidak sesuai.
“Itulah maksud boleh mencemarkan, ini juga membawa masalah aspek keselamatan lalu lintas, menimbulkan kesesakan dan mengganggu keselesaan perumahan atau penduduk setempat,” katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya, MBJB menerusi Unit Jabatan Perancang dan Kejuruteraan digerakkan bagi mengenal pasti tapak dan laluan yang sesuai untuk dijadikan kawasan berniaga kepada penjaja ini.
Katanya, kebanyakan mereka menjaja di Johor Jaya, Skudai, Bakar Batu, Tebrau serta Austin Perdana dan Ahli Majlis di zon masing-masing diminta melihat kawasan yang sesuai untuk mereka.










