KULIM 27 Mac – Sebanyak 10 pengusaha dalam pelbagai bidang keusahawanan dari negeri ini dan Pulau Pinang telah menyertai Program Open Mic Bersama Industri 2019 anjuran Kolej Komuniti Kulim di sini, semalam.
Pengarahnya, Ruzita Md.Yusoff berkata, program itu diadakan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai tenaga pekerja mahir yang menepati kehendak dan keperluan industri di kedua-dua negeri tersebut.
Kata beliau, malah ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sebuah negara maju dengan rakyatnya yang berpendapatan tinggi.
“Program ini mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Usahawan Kosmetik Bumiputra Utara; Bionutraceutical Sdn. Bhd.; Jabatan Tenaga Kerja Kulim; Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM); Pasar Raya Tesco Kulim; Pertubuhan Peladang Kawasan Selama Kedah; Cloud Media Studio; KMK Printing & Graphic Sdn. Bhd.; Farin Power Group Sdn. Bhd. dan Haruman Mesra Enterprise,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut beliau, adalah menjadi hasrat Kolej Komuniti Kulim untuk memastikan setiap graduan dihasilkan menepati kehendak Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) seperti mana terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). – UTUSAN ONLINE











