PUTRAJAYA 14 Feb. – Kerajaan yakin ekonomi negara akan terus berkembang pada tahun ini berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada tahun 2018, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau menjelaskan, dengan prestasi pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7 peratus bagi tahun 2018, ia memberikan ruang untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat pada tahun ini.
“Saya merasakan prestasi pertumbuhan ekonomi memuaskan. Ini memandangkan pertumbuhan ekonomi negara-negara lain pun menghadapi penurunan.
“Kita lihat dalam konteks global semua terjejas. Dan untuk Malaysia mencapai 4.7 peratus, adalah antara prestasi yang baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Tahfiz Berdaftar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Sebelum ini kerajaan menyasarkan pertumbuhan ekonomi bagi 2018 adalah 4.8 peratus.
Hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.7 peratus bagi suku keempat 2018, menjadikan jumlah keseluruhan KDNK bagi 2018 adalah 4.7 peratus juga.
Ditanya berhubung prestasi suku tahun pertama 2019, Guan Eng menjelaskan, pihaknya melihat ia bakal menghadapi cabaran tetapi optimis pertumbuhan itu akan berterusan.
Sementara itu, ditanya mengenai tuntutan hutang terhadap Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) berjumlah RM1.4 juta daripada sekumpulan penerbit, beliau memberitahu bahawa ia tidak dikendalikan kementeriannya tetapi diuruskan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau bagaimanapun mengesahkan Institut Buku dan Terjemahan Malaysia (ITBM) yang menguruskan KB1M merupakan anak syarikat di bawah kementerian.
Terdahulu, Guan Eng menyerahkan peruntukan sebanyak RM25 juta kepada pihak Maszlee untuk digunakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah agama rakyat serta sekolah agama persendirian berdaftar.
Ini merupakan kali pertama pemberian seumpama itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan. – UTUSAN ONLINE










