KOTA BHARU 14 Feb. – UMNO Kelantan berharap pucuk pimpinan parti meneruskan usaha membentuk hubungan yang lebih kukuh seperti gabungan sah dan berdaftar dengan Pas, bukan sekadar kerjasama longgar tanpa sebarang ikatan sebagaimana yang wujud ketika ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, harapan pihaknya itu telah disampaikan dalam satu memorandum kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum beliau berehat daripada tugas.
Katanya, sebaik sahaja menerima memorandum tersebut, Ahmad Zahid memberi reaksi positif dan tidak menolak kemungkinan untuk pucuk pimpinan berusaha ke arah itu.
“UMNO Kelantan adalah antara yang terawal membuat ketetapan bukan sahaja menyokong kerjasama malah mendesak agar penyatuan politik antara kedua-dua parti segera dilaksanakan.
“Beberapa kerjasama sudah dapat disaksikan sebelum ini termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, namun kita tidak mahu kerjasama itu berlangsung dalam konsep dan waktu tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis makan malam bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), di sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden Kemudi, Azran Fitri Ab Rahim.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan mengakui Pas Kelantan merupakan kunci penting kepada usaha penyatuan tersebut namun setakat ini, maklum balas di ‘pihak sebelah sana’ disifatkan masih samar.
“Secara peribadi atau rasmi, UMNO Kelantan belum mengadakan pertemuan dengan Pas Kelantan namun kita mengalu-alukan sebarang bentuk pertemuan. Terserah kepada mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










