TIDAK melatah apabila diselar warganet yang kurang senang dengan kemenangannya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) yang lepas, pelantun lagu Warkah Buatmu ini tidak terkesan dengan pelbagai komen negatif dilemparkan, malah meneruskan hidup seperti biasa.
Berbesar hati menerima segala kritikan yang membina, Ara faham akan kehendak peminat yang mahukan kesempurnaan. Namun ada kalanya hati terguris dek kerana kata-kata kesat yang ditinggalkan dalam ruangan komen dalam media sosial.
“Saya jenis orang yang membaca komen, tak kiralah komen itu baik atau sebaliknya. Kadang-

kadang bila baca kejian yang melampau, terasa seperti mahu sahaja membalas, tapi banyak pihak yang menghalang.
“Perkara sebegini akan menjadi besar sekiranya dilayan, namun sebenarnya ia juga menya–kitkan hati bila dibiarkan,” luah Ara.
Menyo–kong Misha Omar dan Linda Rafar yang sebelum ini mengambil tindakan terhadap warganet yang memfitnah mereka, bagi Ara apa yang dilakukan kedua-dua artis berkenaan boleh memberi pengajaran kepada orang ramai supaya lebih beradab dalam laman sosial.
“Bila lebih ramai artis berbuat demikian, saya percaya mampu memberi pengajaran dan amaran kepada yang lain. Sekurang-kurangnya mereka tidak sewenang-wenang menyebarkan fitnah.
“Kadang–kala, warganet terlalu mengikut perasaan sehingga sanggup mereka cerita perkara yang tiada demi kepuasan diri sendiri,” katanya.
Menurut Ara, apa sahaja yang mahu disampaikan oleh warganet dalam ruangan media sosial seharusnya menggunakan bahasa yang baik.
Malah katanya, dia tidak teragak-agak untuk menghalang mana-mana pemilik akaun dalam media sosial yang bersikap kurang ajar daripada mengikuti perkembangannya.
“Jika mahu memberi nasihat atau kritik sekalipun, biarlah dengan kata-kata yang baik. Kalau sinis, saya boleh terima tetapi pastikan tiada kata-kata kesat.
“Saya paling pantang jika mereka menggunakan kata-kata kasar untuk memaki hamun atau mengaitkan mana-mana ahli keluarga untuk dijadikan bahan kutukan,” tegas Ara.











