PULAU PINANG 10 Feb. – Seorang lelaki warga Kanada, Bieber Robert Donald ditemukan mati di dalam sebuah apartment yang disewanya di Batu Feringghi di sini petang semalam dipercayai akibat serangan jantung.
Mayat warga emas berusia 70 tahun itu ditemukan pemilik apartment berkenaan selepas anak mangsa memintanya memeriksa keadaan mangsa yang gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, sebaik sahaja pemilik apartment berkenaan tiba di rumah yang disewa mangsa kira-kira pukul 7 malam semalam, dia terhidu bau busuk sebelum bertindak membuat laporan polis.
“Pemeriksaan polis kemudiannya menemukan mayat mangsa yang berulat terlentang di dalam bilik air apartment berkenaan dan dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari lalu.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia kerana serangan jantung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Che Zaimani, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan keadaan apartment itu juga tidak menunjukkan tanda-tanda diceroboh.
Katanya, mangsa menyewa apartment itu seorang diri sejak 22 Julai tahun lalu dan kali terakhir membuat bayaran pada 26 Disember lalu namun kerap berhubung menerusi e-mel dengan pemilik apartment berkenaan yang kini menetap di Singapura. – UTUSAN ONLINE










