JOHOR BAHRU 19 Feb. – Seorang lelaki warga emas patah bahu manakala isterinya menerima enam jahitan pada kaki selepas dinding penahan tebing jalan konkrit kawasan perumahan di Kampung Sungai Buloh di sini tumbang, semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Azizan Ibrahim dan isteri, Rahimah Mohamad masing-masing berusia 73 tahun ditemukan terbaring di bawah runtuhan dalam sebuah bilik di rumah tersebut.
Kejadian tersebut disedari anaknya, Azhar Azizan, 47, ketika memeriksa keadaan di luar rumah yang didiami keluarga tersebut sejak 30 tahun lalu.
Menurutnya, hujan lebat melanda daerah ini menyebabkan air melimpah di kawasan perumahan baharu di Taman Desa Harmoni.
“Pada ketika itu saya berada di luar rumah untuk meninjau keadaan memandangkan hujan lebat dan angin kencing manakala emak dan ayah berada dalam rumah. Tembok penahan tebing jalan kawasan perumahan berhampiran tiba-tiba runtuh lalu menghempap rumah kami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menyedari kejadian itu dia bergegas menyelamatkan ibu dan ayahnya yang ditemukan dalam keadaan terbaring bawah runtuhan. Bapanya mengalami kecederaan patah bahu kiri manakala ibunya cedera pada kaki.
“Saya bersyukur kedua-dua orang tua saya tidak mengalami kecederaan teruk dan reda dengan kejadian ini. Bahagian dapur rumah musnah dan buat sementara ini, ibu dan ayah tinggal bersama adik-beradik yang lain manakala saya berada di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Azhar berkata, kejadian disyaki berpunca daripada limpahan air hujan yang bertakung di kawasan tembok setinggi kira-kira lima meter yang dibina pihak pemaju sejak lebih setahun lalu.
Katanya, binaan konkrit itu dikatakan tidak dapat menahan limpahan air hujan menyebabkan tembok berkenaan roboh dan menghempap rumah mereka.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Kamarulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.23 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Pihak kita memberikan bantuan kecemasan awal kepada mangsa sebelum kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya.











