Wanita UMNO sambut baik jawatankuasa penyatuan ummah - Utusan Malaysia

Wanita UMNO sambut baik jawatankuasa penyatuan ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 26 Feb.- Pergerakan Wanita UMNO menyambut baik dan bersedia memainkan peranan dalam cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa yang melibatkan UMNO dan Pas bagi membincangkan agenda penyatuan ummah di negara ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, penyatuan kedua-dua parti Melayu Islam  terbesar itu amat dialu-alukan malah pihaknya juga telah mengadakan beberapa perbincangan bersama pihak Dewan Muslimat Pas berkenaan agenda tersebut. 

“Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ada memaklumkan penubuhan jawatankuasa tersebut dan insya-Allah perkara tersebut akan menjadi agenda utama selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. 

” Di peringkat Wanita UMNO sendiri telah bermesyuarat dan kami ada perbincangan dari semasa ke semasa, serta sudah banyak kali kani berjumpa buat program bersama,” katanya. 

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Akifi Semenyih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Kampung Sungai Purun, Semenyih di sini hari ini. 

Majlis yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita UMNO Selangor dengan kerjasama Dewan Muslimat Pas Selangor itu turut dihadiri oleh Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Nuridah Mohd. Salleh. 

Sementara itu, jelas Noraini, maklum balas penduduk Semenyih terhadap Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen amat bagus dan menggalakkan. 

“Bila kami pergi ke akar umbi terutama ke tempat-tempat awam saya lihat maklum balas amat baik malah ada penduduk yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada BN. 

“Mereka memang mengharapkan BN dapat menjadi pilihan rakyat di Semenyih kali ini, situasi itu tentunya memberi galakkan kepada kami daripada parti-parti komponen BN sambil dibantu oleh Pas untuk berjumpa lebih ramai lagi penduduk di Semenyih,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN