ALOR GAJAH – Gara-gara ingin menahan keretanya yang rosak daripada mengundur, seorang wanita maut selepas terperosok di bawah kenderaan itu di Solok Air Manggis, Kampung Rembia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa Nurfizah Mohd. Taufek, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di pelbagai anggota badan.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Asisten Superintendan, K. Mahadevan berkata, sebelum kejadian kereta jenis Kia Spectra yang dipandu mangsa telah rosak ketika berada di kawasan berbukit.
“Kereta itu kemudian secara tiba-tiba telah mengundur dan mangsa bertindak turun dari kenderaan tersebut untuk menahannya. Mangsa bagaimanapun telah terjatuh lalu terperosok di bawah kereta itu.
“Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa telah dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, namun wanita itu disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










