Wan Muhammad rebut jawatan PM - Utusan Malaysia

Wan Muhammad rebut jawatan PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 14 Feb. – Ahli politik veteran yang merupakan Ketua Parti Prachachat, Wan Muhammad Nor Matha mengesahkan bakal bertanding untuk me­rebut jawatan Perdana Menteri pada pilihan raya umum Thailand 24 Mac ini.

Menurut laporan Bangkok Post, pengumuman itu dibuat beliau dalam pertemuan bersama jawatankuasa Islam Songkhla yang dihadiri 400 ulama dari 399 masjid di sekitar wilayah tersebut.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung parti, Tawee Soddong dan calon-calon pilihan raya dari lapan kawasan di Songkhla.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bersedia untuk berkhid­mat sebagai Perdana Menteri walaupun usia saya mencecah 70 tahun. Mahathir Mohamad (Tun Dr. Mahathir Mohamad) kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia pada usia 93,” katanya.

Wan Muhammad berkata, beliau amat yakin mampu menerajui Parti Prachachat sebagai parti untuk semua masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Beliau mempunyai latar belakang politik yang luas dan pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri di tiga kementerian berbeza.

“Prachachat adalah parti pelbagai kaum. Saya seorang Islam, Tawee beragama Buddha, sementara ahli utama parti, Nahatai Tewpaingam beragama Kristian,” jelasnya.

Salah satu dasar utama parti itu adalah untuk menyelesaikan krisis pemberontakan yang melanda wilayah selatan dengan memberi lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa tempatan.

Pada masa yang sama, parti itu turut berjanji untuk membantu membangunkan perniagaan tempatan dengan melin­dungi harga tanaman.

“Parti ini menyokong penyertaan rakyat agar mereka berpeluang menentukan masa depan sendiri. Kami akan memperjuangkan hak kuasa pentadbiran tempatan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Wan Muhammad menegaskan pentadbiran tempatan di sepanjang wilayah kawasan sempadan seperti Songkhla seharusnya diberi le­bih kuasa untuk mentadbir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×