HULU LANGAT 14 Feb. – Barisan Nasional (BN) mencalonkan pemimpin masyarakat, Zakaria Hanafi, 58, sebagai calon mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Video oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
Perkara tersebut diumumkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis di Bilik Gerakan BN, di Plaza Dato’ Mohd. Said, Semenyih, di sini hari ini.
Jelas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, pemilihan Zakaria adalah berdasarkan kriteria calon yang ditampilkan mestilah anak tempatan dan mesra rakyat.
“Kita telah menerima enam pencalonan daripada UMNO Bahagian Hulu Langat, semuanya baik-baik tetapi kita pilih yang paling baik.
“Calon bagi DUN tak memerlukan sijil berjela-jela, tetapi orang yang sentiasa boleh bersama rakyat. Selepas penilaian dan pertimbangan, kami memilih Zakaria yang diharap dapat membawa suara rakyat ke DUN Selangor,” katanya.

Zakaria yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Langat merupakan bekas penolong pegawai tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan dari universiti yang sama. – UTUSAN ONLINE











