PUTRAJAYA 8 Feb.- Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan membabitkan namanya berkaitan dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.
Malah Bekas Timbalan Presiden Pas itu menjelaskan sudah dinamakan satu tuduhan, oleh demikian beliau telah memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan dan sekali gus memberi peluang kepadanya membuat penjelasan berserta bukti.
Katanya lagi, beliau telah mengemukakan pelbagai dokumen seperti yang diminta SPRM ketika sesi keterangan.
“Selain dokumen diminta, yang juga dikemuka adalah penyata kewangan, akaun bank dan segala butirannya termasuk membabitkan akaun saya dan yayasan (Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).
“Mereka juga tanya daripada sumber datang dan bagaimana ia keluar, kemudian saya jawab dengan semua termaktub seperti dalam penyata kewangan itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Nasharudin yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GMMF berkata, beliau amat berpuas hati dengan proses mengambil keterangan yang dijalankan SPRM.
Beliau berharap agar semua pihaknya memberi ruang kepada suruhanjaya itu dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.
“Saya juga berharap semua pihak contohnya bagi mereka yang kata ada bukti dan sebagainya diminta untuk tampil ke hadapan dan bawa bukti-bukti tersebut.
“Itulah kita harus berikan sepenuh sokongan dan kepercayaan kepada siasatan SPRM, sebab saya yakin profesional mereka dan harus untuk kita berikan sokongan padu,” katanya.
Terdahulu, Nasharudin yang tiba di sini pada pukul 8.40 pagi dilihat keluar dari ibu pejabat SPRM pada pukul 12.45 tengah hari untuk berehat seketika bagi menunaikan solat Jumaat.
Beliau dijangka menyambung semula memberikan keterangan pada pukul 3 petang ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan tiga ahli politik dijangka hadir ke SPRM untuk memberi keterangan berhubung dakwaan RM90 juta disyaki daripada 1Malaysian Development Berhad (IMDB) yang dikatakan dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin Pas.
Sebelum ini, dilaporkan individu-individu berkaitan akan dipanggil serta beberapa dokumen diteliti SPRM berhubung dakwaan kemasukan RM90 juta ke dalam akaun pemimpin Pas. – UTUSAN ONLINE










