KUALA LUMPUR 28 Feb.- Jabatan Kastam Diraja Malaysia mensasarkan peningkatan RM7 bilion bagi kutipan cukai rokok dan minuman keras pada tahun ini.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, pihaknya telah mengutip RM5.5 bilion pada tahun lalu dan yakin hasil itu akan bertambah.
“Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, hasil kutipan cukai membabitkan minuman keras telah meningkat sebanyak 30 peratus.
“Manakala kutipan cukai untuk rokok pula belum menunjukkan peningkatan yang ketara dan kita yakin dalam masa akan datang ia akan menunjukkan peningkatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Subromaniam memberitahu, peningkatan ini adalah hasil dari aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat dan pelaksanaan pindaan undang-undang yang telah berkuatkuasa pada 2 Januari lalu.
“Dari aspek penguatkuasaan, sebanyak 325 kes penyeludupan rokok dan minuman keras telah direkodkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
“Dalam tempoh itu juga, sejumlah 100 juta batang rokok dan 228,000 liter minuman keras telah dirampas dengan nilai RM100 juta,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










