[VIDEO] Air mata Syukur iringi pemergian Tongkol - Utusan Malaysia

[VIDEO] Air mata Syukur iringi pemergian Tongkol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 8 Feb. – Riak wajahnya muram beberapa kali, Muhammad Syukur Khamis, 14, dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat perpisahan dengan ‘sahabat karibnya’, Tongkol di kediamannya di Kampung Banggol Katong, bersebelahan Kampung Kubang Bujuk di sini lewat petang semalam.

Walaupun sukar untuk pelajar tingkatan dua ini merelakan pemergian kerbau yang dijaga sejak dari kecil itu namun, dia akur untuk melepaskan Tongkol untuk dikorbankan sempena majlis menyambut menantu dua abangnya, Muhamad Kamil Khamis, 30, dan Muhamad Alias, 29, hari ini. 

Tongkol yang berusia lima tahun dengan berat 300 kilogram merupakan kerbau kedua yang disayanginya selepas Awang, selamat disembelih pukul 6 pagi tadi di rumah rakan bapanya di Wakaf Tapai, Marang. 

Tidak banyak berbicara berbanding temu bual dengan pihak media sebelum ini, Muhammad Syukur yang digelar Mowgli Malaysia dilihat tetap kuat dan cuba melayani pertanyaan mengenai Tongkol.

“Sebelum hantar ke rumah kawan ayah, saya sempat mandikan Tongkol, gosok-gosok, belai dan kemudian bagi dia makan. Hari ini dia makan banyak sikit daripada biasa. 

“Pernah tanya ayah untuk tukar kerbau lain tapi ayah kata tak boleh sebab Tongkol sudah besar,” katanya di sini semalam. 

Difahamkan sewaktu kehilangan sahabat pertamanya, Awang beberapa tahun lalu, anak bongsu daripada lapan beradik ini mengambil masa selama seminggu untuk mengubati kesedihannya. 

Muhammad Syukur yang cuba menyembunyikan rasa hiba turut memberitahu, ayahnya sudah memberikan beberapa sahabat baharu bagi menggantikan Tongkol dengan salah satunya dinamakan kembali dengan nama Awang.

Seolah-olah mengetahui hakikat sebuah perpisahan, Tongkol yang sifatnya jinak mengambil masa kira-kira lima minit untuk masuk ke dalam lori selepas ‘dipujuk’ sebelum dibawa pergi kira-kira pukul 6.44 petang.

Sementara itu, bapanya, Khamis Jusoh berkata, majlis sambut menantu anak sulung dan keduanya yang bermula pukul 11 pagi ini dijangka dihadiri kira-kira 3,000 tetamu. 

Katanya, sebanyak enam kawah hidangan daging kerbau akan disajikan kepada tetamu di samping masing-masing dua kawah lembu dan ayam.

“Jemputan dianggarkan seramai 3,000 orang tetapi berkemungkinan akan lebih memandangkan Muhammad Syukur sudah dikenali ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN