Pada zaman awal kegemilangan filem Melayu era 1950-an, Utusan Melayu menjuarai perjuangan membela nasib anak-anak wayang di Studio Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas Singapura apabila mendesak agar P.Ramlee diberi peluang menjadi pengarah filem Melayu yang selama ini didominasi pengarah yang dibawa khas dari India.
Utusan Melayu berpendapat, sudah sampai masanya P. Ramlee diberi peluang sebagai pengarah memandangkan kebolehan luar biasa beliau dari segi lakonan, nyanyian, pelawak, sebagai hero dan memegang watak antagonis dalam filem-filem yang dilakonkannya sejak filem Chinta (1948) sehinggalah filem Abu Hassan Penchuri (1955).
Menurut rencana pengarang Utusan Melayu, sebanyak 24 buah filem yang dilakonkan P.Ramlee dalam tempoh itu bersama lagu-lagu ciptaannya untuk filem-filem di Studio Jalan Ampas sudah membuktikan kebolehan dan sumbangan yang tiada tolok banding seniman itu dalam sinema Melayu.
Hatta Azad Khan dalam tulisannya bertajuk ‘P.Ramlee Sebagai Pelakon Watak Dalam Pelbagai Genre’ dalam buku P.Ramlee Seniman Agung Dunia Melayu (2003) menyatakan sejak awal tahun 1950-an, dunia kesusasteraan dan persuratkhabaran Melayu yang berpusat di Singapura mula menjadi pendesak kepada Studio MFP untuk memberikan identiti Melayu kepada filem-filem terbitannya.
“Utusan Melayu dan majalah mingguan/bulanan seperti Hiburan, Filem Raya, Gelanggang Filem, Mastika, Majalah Filem dan Berita Filem mula menyuarakan pandangan supaya filem Melayu berperisian Melayu dan diserahkan ke tangan kreatif anak-anak tempatan.
“Jaafar Abdullah, pegawai penerangan Studio Malay Film Productions Singapura sekaligus Pengarang Majalah Filem bertanggungjawab menyarankan kepada Run Run Shaw, tuan punya MFP supaya P.Ramlee diberi peluang mengarah filem sendiri.
“Dia sanggup bekerja lima tahun tanpa gaji sekiranya P. Ramlee menghadapi kegagalan” (Hatta Azad Khan 2003: 184).
“Gila!” Kata Run Run Shaw yang menganggap permintaan Jaafar itu tidak munasabah. Akhirnya, P.Ramlee disuruhnya memilih skrip filem Hindi atau Cina untuk diadaptasikan tetapi P.Ramlee dan Jaafar tetap berkeras dan mahu mengarah filem cerita asli.
Hasilnya, lahirlah filem Penarik Beca (1955) lakonan dan arahan P.Ramlee yang menempa kejayaan besar dan menjadi kebanggaan seluruh masyarakat Melayu di Nusantara.
“Utusan Filem dan Sport memilihnya sebagai Filem Terbaik mengalahkan ‘Kasih Menumpang’ arahan L. Krishnan, ‘Kipas Hikmat’ (S.Ramanathan) dan ‘Merana’ (B.N. Rao). Undian para peminat meletakkan Penarik Beca melebihi 5,000 undi mendahului filem-filem lain” (Hatta Azad Khan 2003: 185).
Desakan Utusan Melayu agar P.Ramlee diberikan peluang oleh Studio Malay Film Productions agar seniman itu membuktikan kebolehannya sebagai seorang pengarah menerusi arahan pertamanya, filem Penarik Beca tidaklah sia-sia.
Studio Jalan Ampas akhirnya akur dengan Utusan Melayu bahawa P.Ramlee seorang seniman yang berkebolehan besar dari segi pengarahan filem.
Mustafa A.R dan Aziz Sattar dalam buku Filem-Filem P.Ramlee (2008) menyatakan sungguhpun Penarik Beca ini adalah filem pertama arahan P.Ramlee namun ternyata ia bukan filem yang dianggap sebagai eksperimen pengarahnya semata-mata.
“Kalau dilihat dan dikaji seolah-olah ia arahan pengarah filem yang sudah berpengalaman. Perkara ini besar kemungkinan berlaku kerana P.Ramlee sudah menceburkan diri dalam dunia filem selama tujuh tahun dan sejak awal lagi telah diasuh oleh B. S. Rajhans dalam berbagai-bagai hal kerja-kerja filem seperti menjaga sambungan, ‘clap stick’ dan kerja menarik dan menolak kamera” (Mustafa A.R dan Aziz Sattar).
Jamil Sulong dalam buku Kaca Permata: Memoir Seorang Pengarah (2007) dalam bab ‘Zaman Anak Tempatan’ menyatakan kejayaan P.Ramlee mengarah filem Penarik Beca mendapat kejayaan di luar dugaan dan nama P.Ramlee bertambah disanjung dan dipuja.
Menurut Jamil Sulong lagi, sebaik P.Ramlee mula mengarah filem beliau telah diminta membuat seni kata lagu untuk dua filem arahannya iaitu Penarik Beca dan Semerah Padi.
Pengaruh sinema Jepun
“Selepas Penarik Beca, filem arahan P.Ramlee yang kedua ialah Semerah Padi. Pada pendapat saya, filem itu adalah sebuah filem yang sangat baik dari segi arahan dan penyampaiannya. Cerita itu sumbangan Omar Rojik.
“Sebelum ini antara saya, P.Ramlee dan Omar Rojik memang sering berbual-bual tentang filem-filem Jepun terutamanya filem arahan Kurosawa, lakonan Toshiro Mifune dalam filem Rashomon. Pengaruh lakonan dan arahan Jepun memang dapat dilihat dalam filem Semerah Padi” (Jamil Sulong 2007: 147).
Menurut Jamil Sulong, pengaruh ini bukanlah bermakna P.Ramlee meniru sesuatu dari Jepun secara menyeluruh tetapi hanya melibatkan cara persembahan dan pendekatan termasuk jurusan kamera, serta kedudukan dan gerak geri pelakon.
Menurut Jins Shamsuddin dalam tulisan bertajuk Karya Seni Filem Seniman Agung P.Ramlee: Satu Penilaian, menerusi filem Semerah Padi, P.Ramlee berjaya mengubah persepsi penonton filem Melayu dari budaya Hindustan kepada budaya Melayu dan Islam.
“Filem ini telah mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan anak muda tetapi juga orang tua dan alim ulama kerana jalan cerita dan arahan serta sentuhan beliau meyakinkan penonton sebagai satu pengajaran yang cukup berkesan dalam memaparkan hukum-hukum Islam berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah S.A.W.” (Jins Shamsuddin 2007:199).
Kejayaan P.Ramlee telah membuka mata pihak penerbit filem di Singapura seperti Malay Film Productions dan Cathay Keris untuk memberi peluang kepada karyawan tempatan menjadi pengarah filem Melayu seperti Jamil Sulong, S.Roomai Noor, M.Amin, Hussin Hanif, S.Kadarisman, Salleh Ghani, Ahmad Sentul dan Nordin Ahmad.
– ESOK: P.RAMLEE DIGILAI WANITA










