DUA kolej universiti kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bakal disatukan menjadi sebuah entiti bagi membolehkan agensi itu merealisasikan usahanya menubuhkan Universiti Wakaf MAIWP.
Cadangan gabungan itu diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ketika ditemui selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MAIWP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Dua kolej universiti di bawah MAIWP iaitu Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) akan digabungkan dan diserap menjadi Universiti Wakaf MAIWP.
“Universiti berkenaan akan menawarkan kursus sedia ada oleh Picoms dan KPBKL, namun akan ditambah mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Mujahid berkata, berikutan sehingga kini Malaysia tidak mempunyai universiti wakaf, maka Universiti Wakaf MAIWP bakal menjadikan Universiti al-Azhar dan universiti di Turki sebagai model.
“Model itu adalah dari aspek sumber pendapatan untuk menanggung kos pembinaan, pengurusan wakaf, tenaga pengajar, pengurusan pelajar dan aspek akademik,” katanya.
Walau bagaimanapun Mujahid memberitahu, apa yang belum dimuktamadkan lagi adalah kos keseluruhan dan lokasi universiti berkenaan, tetapi beliau menjangkakan tarikh pembinaan universiti berkenaan bermula lima atau enam tahun lagi.
Katanya, cadangan pembiayaan yang ada setakat ini adalah menggunakan sumber pendapatan daripada anak syarikat MAIWP dan sumbangan orang ramai khususnya dalam kalangan umat Islam .
“la bagi merealisasikan pembinaan universiti ini yang bertujuan membantu umat Islam dan golongan kurang kemampuan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.
Selain Picoms, Pusat Pungutan Zakat, Pusat Rawatan Islam Wilayah Persekutuan (Pusrawi), Institut Profesional Baitulmal, MAIWP Dagang Sdn. Bhd. dan Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. adalah anak syarikat di bawah MAIWP.
Sementara itu Mohamad Nordin berkata, pembiayaan penubuhan Universiti Wakaf MAIWP tidak menggunakan peruntukan kerajaan. Selain daripada sumber pendapatan anak syarikat MAIWP, ia bergantung kepada jumlah wakaf yang disumbangkan oleh umat Islam di negara ini.
“Sekurang-kurangnya RM10 seorang, jika 12 juta umat Islam di negara kita turut menyumbang, MAIWP mampu biaya universiti ini, justeru MAIWP akan memupuk kesedaran wakaf dan tabung pembiayaan orang ramai akan kami wujudkan nanti,” katanya.
INSTITUSI PENDIDIKAN MAIWP
1 Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
* Membuka peluang kepada pelajar lulusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) melanjutkan pelajaran di peringkat menengah sebagai kesinambungan pendidikan agama di sekolah-sekolah rendah agama di Wilayah Persekutuan.
2 SMA MAIWP Labuan
* Tanda keprihatinan kerajaan dalam memenuhi hala tuju pendidikan Sekolah Rendah Agama Islam di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi.
3 Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz
* Penubuhannya untuk memenuhi permintaan dan kehendak masyarakat yang telah sekian lama ingin melihat wujudnya sekolah agama integrasi sains dan tahfiz di peringkat Wilayah Persekutuan.
4 Idea penubuhan Pondok Moden Al-’Abaqirah (PMA)
* Dicetuskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri bagi melahirkan cendekiawan Islam yang mahir dalam ilmu agama dan ilmu duniawi.
5 Markaz Sunnah Nabawiyah, MAIWP
* Dicetuskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri bagi melahirkan cendekiawan Islam yang pakar dalam ilmu hadis.
6 Tadika Islam
* Sebanyak 78 tadika Islam iaitu 74 di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala empat lagi di Wilayah Persekutuan, Labuan ditadbir secara langsung oleh MAIWP.











