UniKL tetap hormati Nurinsafi - Utusan Malaysia

UniKL tetap hormati Nurinsafi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURULATIH pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj tetap akan mempertaruhkan barisan pemain terbaiknya walaupun turun berdepan pasukan tercorot, Nurinsafi pada aksi ke-10 Divisyen Premier, Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, esok.

Bekas penolong jurulatih skuad senior kebangsaan itu menjelaskan, kesukaran me­numpaskan pasukan yang berpangkalan di Sungai Pe­tani itu pada aksi pertama sebelum ini menjadi pengajaran berguna untuk pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain.

Sebelum ini UniKL hanya berjaya mengatasi Nurinsafi 3-1 pada aksi di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, pada 25 Januari lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang kami tidak mengambil mudah aksi ini. Malah, kami meneruskan latihan keras dalam dua sesi terakhir. Esok kami akan menguji padang Stadium­ Hoki USM dan daripada maklumat yang saya terima, padangnya agak baharu.

“Selain daripada itu kami juga kembali menjalani latihan asas iaitu mempelajari cara bagaimana untuk beraksi dan macam mana memulakan perlawanan. Apabila kami ke sana, kami akan beraksi bermati-ma­tian kerana kami menjangkakan tentangan sengit daripada mereka,” kata Arul dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UniKL.

Mengulas lanjut, Arul gembira ke­rana semua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan termasuk pemain import dari Australia, Timothy Deavin yang kembali pulih daripada kecederaan ringan yang dialaminya sebelum ini.

“Semua pemain saya amat bermotivasi dan bersungguh-sungguh dalam latihan selain menunjukkan usaha yang jitu. Selalunya, apa yang dibuat dalam latihan akan dibawa ke hari perlawanan,” katanya.

Kemenangan ke atas Nurinsafi esok bakal mencerahkan peluang UniKL untuk meraih kejuaraan liga buat julung kalinya selepas unggul mendahului carta liga dengan kutipan 25 mata selepas sembilan perlawanan.

Pencabar terdekat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula menduduki tempat kedua dengan kutipan 24 mata selepas 10 perlawanan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini