KUALA LUMPUR 6 Feb. – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggariskan tiga aspek utama dalam kajian semula kurikulum bagi memperkasa kebolehpasaran graduan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof. Dr. Rasid Mail berkata, tiga aspek tersebut meliputi penambahbaikan aspek kandungan program yang ditawarkan termasuk sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kemudahan infrastruktur.
“Kandungan program-program akademik diteliti secara terperinci untuk memastikan segala penambahbaikan yang dilaksana seiring dengan perkembangan industri semasa ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0 sekali gus memastikan kurikulum tersedia masa hadapan (future proof curriculum) ditawarkan dalam semua program pengajian di UMS.
“Dalam masa sama, kita mahu silibus kurikulum adalah berorientasikan kepada pasaran kerja terkini akan melahirkan graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan cabaran di alam pekerjaan serta menepati ciri-ciri pekerja yang diperlukan majikan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rasid yang juga Pensyarah Program Perakaunan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) berkata, semua pensyarah juga disaran menjadi lebih kreatif dan mempunyai kemahiran pedagogi yang berkesan dalam sistem penyampaian bagi memastikan pelajar seronok dan mudah faham sewaktu menghadiri kuliah.
Menurutnya, kaedah konvensional pengajaran dan pembelajaran akan digantikan dengan pendekatan fleksibel dan berasaskan teknologi, sesuai dengan perubahan demografi para mahasiswa.
“Sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih fleksibel bukan hanya berlaku dalam bilik kuliah tetapi juga secara atas talian.
“Ini juga merangkumi aspek penilaian, penaksiran dan pemarkahan yang berasaskan hasil pembelajaran (OBE),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










