SHAH ALAM 7 Feb. – UMNO akan kembali kuat dengan semangat baharu dan tidak akan ‘ditalkinkan’ hanya kerana Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa parti terbesar orang Melayu itu sudah berakhir.
Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat masih sayangkan UMNO dan buktinya parti itu kembali meraihkan kemenangan dengan majoriti lebih besar di Cameron Highlands baru-baru ini, walaupun dalam keadaan semua akaun parti dibekukan.
Bahkan katanya, UMNO yang memiliki keahlian lebih daripada tiga juta orang dan mempunyai 21,000 cawangan adalah parti yang memiliki struktur paling kukuh di peringkat akar umbi menyebabkan ia tidak terjejas walaupun ada beberapa tokoh serta pemimpin bertindak meninggalkan selepas PRU-14.
Malah dalam sesi Bicara Minda, ketika diajukan soalan mengenai hayat UMNO oleh moderator, Tan Sri Johan Jaaffar, berkait soal ‘taklin’ ke atas UMNO, Mohamad secara sinis memberitahu, pihak yang mahu ‘menalkinkan’ UMNO belum tentu hayat politiknya lebih panjang daripada parti itu.
“Tak tahulah siapa yang ditalkinkan dahulu,” katanya sambil diiringi sorakan oleh orang ramai di dewan Kompleks Karangkraf di sini hari ini.
Diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa UMNO sudah tiada, Mohamad juga tampil bersahaja tetapi memberi pengertian yang cukup mendalam jawapannya.
“Dia macam inilah Tan Sri, nak tahu panjang dan berlikunya sungai tanya kepada seluan (ikan), nak tahu dalamnya lubuk tanya kepada memerang, nak tanya lebarnya padang tanya pada belalang, nak tahu tebalnya belukar tanya pak belang.
“Nak tahu eloknya orang tanya pada kawan, nak tahu tak eloknya orang tanya pada lawan, Tan Sri tanya pada lawan maka jawabnya UMNO tidak eloklah Tan Sri,” jelasnya yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Dalam perkembangan yang sama, Mohamad berkata, beliau dan seluruh kepemimpinan parti sedang menyusun strategi untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang.
Jelasnya, kekalahan lalu banyak menyedarkan UMNO tentang kesilapan bukan sahaja dalam soal pentadbiran kerajaan dan isu salah laku, tetapi lebih penting mencakupi strategi kerana kemenangan Pakatan Harapan (PH) selain daripada rakyat termakan janji, juga dibantu kesilapan strategi BN.










