KUALA LUMPUR 14 Feb. – Biarpun berdepan pelbagai ujian, terutama kegagalan mendapatkan pemain yang diingin untuk menghadapi Kejohanan AFF Bawah 22 (B-22), namun pengendali skuad muda negara, Datuk Ong Kim Swee enggan menjadi perkara tersebut sebagai alasan tidak menampilkan aksi terbaik.
Menurut Kim Swee, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sebarang sasaran tetapi pasukannya turun dengan misi melepasi peringkat kumpulan dan cuba melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja dari 17 hingga 26 Februari.

“Banyak lagi yang kami perlu lakukan kerana dari segi persembahan pasukan belum mantap.
“Memang kita pergi (Kejohanan AFF) untuk mendapatkan pengalaman tetapi dalam masa sama mahukan keputusan terbaik meskipun tiada sasaran atau objektif yang ditetapkan.
“Tujuan kita adalah untuk memantapkan lagi pasukan sebelum berdepan kelayakan Piala AFC bulan depan. Kita tidak boleh pandang rendah kepada pasukan Kemboja kerana mereka beraksi di laman sendiri,” katanya.
Hari ini, anak-anak buah Kim Swee mengharungi aksi persahabatan terakhir sebelum berlepas ke Kemboja esok dengan menumpaskan NPNG FC 2-1 di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Kemboja, Isnin ini, sebelum bertemu Indonesia (20 Februari) dan Myanmar pada 22 Februari.










