KUALA LUMPUR 7 Feb. – Semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia diminta menyelesaikan masalah pembayaran gaji pemain dan pegawai atau berdepan tindakan tegas.

Demikian gesaan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan ringkas di laman sosial Facebook, Johor Southern Tigers pada malam tadi.
“Semasa perjumpaan saya dengan semua pasukan (di Johor Bahru), wakil dari Selangor berdiri dan minta saya untuk memberi kelonggaran selama 8 bulan.
“Tetapi apabila MFL beri kelonggaran, semua tidak ikut peraturan. Maaf kepada semua pasukan, selesaikan semua hutang atau tindakan tegas akan diambil.
“Apabila MFL tegas, semua kata MFL kejam. Apabila MFL tidak tegas, pemain-pemain dan staf menjadi mangsa tak dapat gaji. Saya menyeru kepada semua, tolonglah ada sikap keperimanusiaan dan tanggungjawab. Jangan mudah lepas tangan. Ini berkaitan dengan periuk nasi orang,” kata Tunku Ismail dalam kenyataan tersebut.
Isu masalah kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai masih lagi berlarutan pada musim ini melibatkan beberapa pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia. – UTUSAN ONLINE










