Tuju mampu ‘libas’ takraw - Utusan Malaysia

Tuju mampu ‘libas’ takraw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAHKAH anda dengar sukan sepak raga tuju?

Jika di negeri-negeri utara Semenanjung, sukan ini sudah lama akrab dengan golo­ngan muda, malah popularitinya hampir setanding sepak takraw.

Berbeza dengan sepak takraw, sepak raga tuju dimainkan tanpa jaring yang direntang di tengah gelanggang namun masih de­ngan tiga pemain setiap pasukan atau regu yang menentang tiga lawan.

Bolanya juga diperbuat daripada sintetik, mempunyai 12 lubang dan 20 pertemuan silang dengan beratnya ialah 195 gram iaitu lebih berat daripada bola sepak takraw.

Gelanggang sepak raga tuju berbentuk bulatan berukuran 9.14 meter dengan jejarinya, 4.57m dan satu bulatan tengah untuk seorang daripada pemain regu itu melambung atau me­ngumpan bola dengan tangan kepada rakan.

Terdapat garisan sempadan di tengahnya yang membahagikan dua regu berlawanan dengan setiap pemain perlu berada di petak masing-masing (enam petak kesemuanya) yang jarak sesama mereka ialah 1.40m.

“Kesemua pemain bebas menyentuh bola dengan menggunakan kaki, paha, bahu dan kepala dengan semua jenis sepakan dibenarkan seperti sepak sila, kekuda, badik, tapak dan tumit.

“Setiap pemain hanya boleh menyentuh bola sebanyak tiga kali dan sentuhan terakhir mestilah dibuat dengan sepakan kaki (kekuda) sahaja untuk ditujukan (ditembak) kepada pemain lawan tetapi tidak boleh melepasi paras lutut. Jika tidak, pemain dan regu itu dianggap melakukan batal.

“Mata dikira jika lawan gagal mengembalikan bola yang dituju atau terlepas daripada timangan dan kawalan, sepakan tuju jatuh ke dalam petak pemain dan mana-mana regu me­lakukan perkara-perkara batal.

“Mata muktamad ialah 21 dan jika masih terikat selepas dua set, 15 menjadi mata pemutus dalam set ketiga atau penentuan yang biasanya digunakan dalam kejohanan terbuka dan bertaraf tinggi tetapi bagi pertandingan kecil-kecilan yang disertai sehingga 40 pasukan dan ke atas, matanya ialah 15 dan 7,” kata Ahli jawatankuasa Persatuan Sepak Takraw Kedah (Pestak) yang juga pengadil sepak raga tuju, Nor Rizuwan Abdullah.

Keunikan sepak raga tuju ialah kadangkala penganjur pertan­dingannya menyediakan kenduri sebagai juadah dalam meraikan peserta­nya.

“Biasanya nasi dan gulai ikan temenung (kembung) disajikan sebagai penambah kemeriahan pertandingan itu yang turut menawarkan hadiah wang tunai antara RM500 dan RM3,000 kepada juaranya,” katanya.

Sepak raga tuju juga pernah cuba diusulkan sebagai rasmi dalam kejohanan antarabangsa, malah pernah dijadikan agenda mesyuarat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sempena Piala Raja Thailand di Bangkok, beberapa tahun lalu.

Sepak raga tuju juga ketika itu pernah mahu dimasukkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun tidak menjadi kenyataan sebaliknya acara yang dipelopori Thailand dan Myanmar seperti gelung dan chinlone begitu mudah diterima dan diiktiraf Istaf.

Ketika video sepak raga tuju ditayangkan kepada perwakilan satu mesyuarat Istaf, seorang pegawai India, Salim Baig berkata: “Ia (sukan tuju) lebih baik dan mencabar daripada hoop (gelung).”

Kata Rizuwan, sebuah pertan­dingan sepak raga tuju peringkat kebangsaan biasanya diadakan pada Disember setiap tahun iaitu Terbuka Langkawi yang diper­kenalkan pada 2016.

“Saya turut terlibat dalam pe­ngadilan Kejohanan Sepak Raga Tuju Pesta Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (Pesaya) Ke-13 di Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Langkawi, Kedah pada 16 Fe­bruari lalu,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN