Troll hantui Pakatan Harapan - Utusan Malaysia

Troll hantui Pakatan Harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIBA-tiba slogan Datuk Seri Najib Tun Razak, ‘Malu Apa Bossku’ meledak dan segera menjadi ikutan, malah kini menjadi mainan di bibir rakyat di seluruh negara. Jika anda berjalan-jalan di Kuala Lumpur dan di bandar lain di Malaysia, anda akan melihat slogan itu terpampang di baju-T, selain gambar bekas Perdana Menteri itu beraksi dengan motosikal Yamaha Y15ZR.

Najib kini telah dijulang sebagai raja troll. Beliau bagai wira dan selebriti sehingga komennya melalui Facebook mendapat sambutan hangat dengan puluhan ribu ‘tanda suka’ dan dikongsikan dengan meluas.

Apa itu troll? Kamus Oxford mendefiniskan troll sebagai perbuatan bersifat menyerang dan provokatif yang dimuat naik sebagai catatan dalam media sosial bagi membangkitkan perasaan marah dan kecewa seseorang.

Kini, dalam alam maya wujud segerombolan tentera siber, menyorok di sebalik skrin komputer atau papan kekunci. Troll dalam alam maya, seperti juga troll dalam mitos, meledakkan emosi marah dan kecewa di pihak yang menjadi sasaran.

Troll adalah strategi dan pendekatan komunikasi politik terbaharu dalam media sosial yang mencerminkan kemarahan rakyat terhadap pemimpin termasuk menteri dan perdana menteri.

Berdasarkan perkembangan di negara ini, troll dibuat dalam bentuk audio, visual, video, gambar, karikatur atau grafik dan kata-kata tajam dan pedas. Mereka ini menggunakan kemahiran aplikasi seperti Photoshop dan Premiere untuk memastikan troll berkenaan memberi kesan besar dan memikat.

Sesungguhnya, kini kita berada pada era perang troll, perang dalam alam maya, menggunakan unsur baharu, yang menguji daya kreativiti, imaginasi, dan pemikiran analitis berdasarkan fakta dan data. Pada masa sama juga, ia menguji kesabaran, ketahanan mental dan emosi penerima.

Tujuannya, lebih sebagai satu strategi komunikasi politik terkini bersifat satu wacana atau wacana tandingan. Sering troll memuatkan unsur mengkritik, memperli, menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek sasaran tertentu, terutama pemimpin ternama.

Troll berjaya membentuk persepsi dan mengubah pendirian rakyat dan pengundi, dan yang penting sekarang, Najib dan Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan momentum bagai mencederakan imej dan reputasi Pakatan Harapan (PH).

Persoalannya, adakah troll dapat menarik atau mempengaruhi rakyat dan memberi kesan negatif terhadap kerajaan PH?

Kalau ya, sejauh manakah kesan negatif itu bakal mengundang padah sehingga mampu menghakiskan sokongan di peti undi terhadap PH dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum nanti?

Troll dianggap perbuatan yang melanggar undang-undang nilai moral, etika, agama dan budaya jika ia melampaui batasan dan sempadan berkenaan.

Melalui troll, janji manifesto PH dibangkitkan kembali, dan PH digambarkan pemerintahan yang gagal membawa perubahan manakala bagi penyokong PH pula, Najib dan pemimpin Pas menjadi sasaran utama.

Bagi pengkritik kerajaan, Malaysia Baharu yang dijanjikan dengan sifat dan slogan muluk kini bagai terperangkap dalam jerebu. Hala tuju Malaysia diperlihatkan tidak jelas, dan masalah rakyat gagal ditangani dengan berkesan sehingga kini.

Kekecewaan rakyat sukar dibendung sehingga Najib yang suatu ketika dulu dibenci dan dihina, kini mendapat sokongan pula. Adakah ini sedikit banyak ada kaitan dengan kejayaan beliau menggunakan troll untuk menyerang, menyindir, mengkritik, memperli pemimpin dan kerajaan PH?

Sokongan dan komen positif melalui troll dan media sosial beliau dan komen negatif terhadap PH bagai memperlihatkan rakyat kembali menyokong pemimpin yang dibelenggu skandal 1MDB itu.

Siapa yang tidak pernah kena troll Najib? Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Khalid Abdul Samad, Lim Guan Eng, Dr. Maszlee Malek, Lim Kit Siang, semuanya pernah menerima cuitan troll beliau. Troll tandingan turut dihantar kepada Najib, lebih bersifat wacana tandingan dan hujah balas, juga bukan tanpa unsur pedas, sindiran dan cuitan.

Bagi Dr. Mahathir, troll Najib adalah cubaan untuk meraih simpati selepas kalah pilihan raya serta rentetan pendakwaan di mahkamah yang dihadapinya. Najib ingin memberi gambaran seolah-olah beliau dianiaya oleh kerajaan PH.

Troll berjaya membuka ruang awam dan mentakrifkan semula makna kebebasan bersuara. Ia selaras dasar demokrasi dan amalan kebebasan bersuara, meskipun diluah dalam nada berseloroh, jenaka atau penuh sindirian. Sering sindiran dan kritikan Najib melalui troll beliau, tidak dapat disangkal oleh PH. Ada ketikanya kerajaan terpaksa akur dengan mengubah beberapa kenyataan dan keputusannya, mungkin gara-gara troll Najib dalam Facebooknya. Troll digunakan untuk menyerang dan menangkis serangan.

Troll Najib bagai pemantau yang melakukan semak imbang dan kritikan membina yang dapat dijadikan cermin bagi PH untuk memperbaiki prestasi.

Akibatnya, jika takut ditroll, maka individu terbabit, termasuk menteri perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan. Troll umpama perangkap yang bakal terkena kepada sesiapa sahaja yang leka dalam tindakan dan perbuatan.

Namun, troll Najib walaupun bermaklumat dan berdasarkan fakta dan angka bukan petanda bahawa rakyat sudah kembali menyokong beliau atau BN sepenuhnya. Yang pasti troll Najib yang kritis dan sinis pasti sentiasa menghantui PH.

Profesor Madya Dr. Jeniri Amir ialah Penganalisis politik dan Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN