Tiga beradik maut kereta bertembung di Pasir Mas - Utusan Malaysia

Tiga beradik maut kereta bertembung di Pasir Mas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Tiga beradik maut selepas kenderaan mereka naiki bertembung dengan kereta dari arah bertentangan dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas di Bukit Tuku, Pasir Mas tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, kakak sulung daripada enam beradik, Nurfatin Arina Mohd. Asri, 23, yang memandu Perodua Myvi, maut di tempat kejadian bersama adik bongsunya, Anis Saraya, 10, yang duduk di sebelah pemandu.

Manakala adik kedua mangsa, Haifa Amira, 22, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, pemandu Proton Wira, Mohd. Helmi Mustafa, 21, pula cedera  parah dan tidak sedarkan diri.

“Ketiga-tiga mangsa berasal dari Kampung Bukit Gading, Tanah Merah dalam perjalanan ke rumah ibu saudara mereka di Pasir Mas.

“Kejadian tersebut berlaku apabila Proton Wira dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal sebelum masuk ke lorong bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pada masa yang sama, Perodua Myvi yang dinaiki tiga beradik itu berada di lorong bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Wira yang dipandu Mohd. Helmi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN