KUALA LUMPUR 7 Feb. – Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap semua pasukan yang liat membayar gaji pemain serta kakitangannya.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang merupakan Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata, kelonggaran yang diberikan mereka sebelum ini ‘disalahguna’ oleh beberapa persatuan hingga menyebabkan masalah gaji terus berlarutan.
“Semasa perjumpaan saya dengan semua pasukan (di Johor Bahru), wakil dari Selangor berdiri dan minta saya memberi kelonggaran selama lapan bulan.
“Tetapi apabila MFL beri kelonggaran, semua tidak ikut peraturan. Maaf kepada semua pasukan, selesaikan semua hutang atau tindakan tegas akan diambil.
“Apabila MFL tegas, semua kata MFL kejam. Apabila MFL tidak tegas, pemain-pemain dan staf menjadi mangsa tak dapat gaji,” katanya dalam Twitter peribadinya, malam tadi.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, MFL telah meminta Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengemukakan bukti dokumen kedudukan kewangan mereka pada 15 Februari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam pertemuan dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie di Kuala Lumpur hari ini.
“Kita telah membuat susulan dengan PFA dan sebagai peringatan, 15 Februari ini adalah tarikh di mana kita akan mengemukakan laporan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL tentang keadaan semasa PFA.
“Kita bukan sahaja berdepan isu melibatkan PFA tetapi semua pasukan yang mengalami masalah dalam proses pendaftaran mereka yang berkait dengan kelewatan dengan bayaran-bayaran sepatutnya.
“Kami sentiasa berhubung dengan kesemua pasukan, mengikuti perkembangan dan cuba memahami isu-isu dihadapi satu pasukan yang dikendali pengurusan baharu dalam Liga Malaysia,” katanya.
PFA sebelum ini mengesahkan empat penaja utama mereka menarik diri gara-gara masalah tunggakan gaji yang melanda persatuan.










