Terlupa tarik brek tangan, lori tangki rempuh 8 kenderaan - Utusan Malaysia

Terlupa tarik brek tangan, lori tangki rempuh 8 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Gara-gara pemandu terlupa menarik brek tangan, sebuah lori tangki menggelongsor ke hadapan seterusnya merempuh lapan kenderaan yang diparkir di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, dekat sini semalam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden pada pukul 9.15 malam itu, sebaliknya hanya membabitkan kerosakan kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori tangki yang membawa muatan air minuman Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memberhentikan lori di stesen minyak untuk mengisi minyak diesel namun terlupa menarik brek tangan.

“Pemandu lori itu kemudian pergi mengeluarkan duit di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan apabila selesai, dia mendapati lori telah menggelongsor ke hadapan menuruni jalan berbukit.

“Lelaki itu kemudian terus mengejar lori tersebut dan cuba memberhentikan kenderaannya. Bagaimanapun, tindakan pemandu itu terlambat kerana lorinya telah pun melanggar deretan lapan buah kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman memaklumkan, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini adalah dua kereta Perodua Bezza, Perodua Myvi (tiga), dan masing-masing sebuah Proton Preve, Nissan Serena serta Nissan X-trail.

“Kesemua kenderaan terlibat mengalami pelbagai kerosakan dan telah dibawa ke Balai Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×