‘Teori Ronaldo’ yakinkan Martial - Utusan Malaysia

‘Teori Ronaldo’ yakinkan Martial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 1 Feb. – Ole Gunnar Solsk­jaer menggunakan Cristiano Ronaldo untuk meyakinkan Anthony Martial agar kekal bersama Manchester United.

Pengurus sementara Red Devils itu memainkan peranan besar untuk memujuk Martial menandatangani penyambu­ngan kontrak lima tahun sete­ngah semalam, sekali gus mengekalkannya di Old Trafford sehingga 2024.

Sejak musim lalu, penyerang muda Perancis itu menyuarakan hasrat untuk meninggalkan United kerana hubungan di­nginnya bersama bekas pengurus, Jose Mourinho.

Begitupun sejak kehadiran Solskjaer, Disember lalu, banyak perubahan telah berlaku, malah Martial dan rakan senegara­nya, Paul Pogba mempamer peningkatan prestasi yang mendadak.

Kata Martial, ­Solskjaer menyakinkan dirinya, dia mampu menjadi sebagus bekas bintang Red Devils yang juga pemenang Ballon d’Or lima kali, Ronaldo jika kekal di Old Trafford.

“Saya sudah 15 tahun bersama kelab ini, sebagai pemain, jurulatih dan sekarang pengurus.

“Saya tahu, apa yang mampu ditawarkan Manchester United dalam karier kamu dan apa yang mampu kamu boleh sumbang kepada pasukan,” antara kata-kata Solskjaer yang membuatkan Martial, 23, amat yakin untuk menurunkan tandatangannya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Solskjaer dan staf kejurulatihan atas kepercayaan dan bantuan diberikan.

“Kelab ini sentiasa mahu memenangi gelaran dan saya pasti kejayaan mampu dicapai nanti,” kata Martial yang dijangka menikmati gaji lumayan, 250,000 pound (RM1.3 juta) seminggu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN