Tawar peluang belajar al-Quran - Utusan Malaysia

Tawar peluang belajar al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN sering menjadi polemik dalam kalangan segelintir masyarakat, namun perkembangan terkini menyaksikan pusat hafazan dan pengajian al-Quran terus mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa di negara ini.

Memenuhi permintaan itu, Maahad Tahfiz al-Quran Kampung Seri Kaya, Bota Kiri, Perak dibina bagi membuka peluang kepada lebih ramai generasi muda mendalami mukjizat agung umat Islam tersebut seterusnya melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pengerusinya, Shihabudin Alang Mat Piah berkata, kompleks tahfiz yang menelan belanja RM4 juta itu sudah siap dibina bagi fasa satu dan dua tetapi masih berhutang dengan kontraktor kira-kira RM500,000.

Memuatkan artikel berkaitan…
SHIHABUDIN ALANG MAT PIAH
SHIHABUDIN ALANG MAT PIAH 

Menurutnya, pusat tahfiz berkenaan mampu menempatkan seramai 150 pelajar, namun pada ketika ini hanya 52 pelajar diterima setelah memenuhi syarat-syarat ditetapkan pihak pengurusan.

“Saya ingin menyambung usaha dakwah kepada masyarakat Islam di negara ini setelah berkhidmat dalam bidang ini sejak 45 tahun lalu. Pendidikan bersepadu perlu dilakukan supaya pelajar dapat menjadi pemimpin yang bertakwa suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Shihabudin merupakan bekas Pegawai Agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bersara pada 2006.

Selain pendakwah bebas, beliau turut berkhidmat sebagai pembimbing ibadat haji sejak 20 tahun lalu terutama di Lembah Klang, Selangor dan Wilayah Persekutuan di samping sering diundang sebagai penceramah di stesen radio.

Menurut Shihabudin, Maahad Tahfiz al-Quran Kampung Seri Kaya dibuka pada bulan Jun 2015 dengan bilangan kakitangan pengurusan dan pengajar seramai lapan orang.

“Permohonan kemasukan ke maahad tahfiz ini terbuka kepada pelajar di seluruh negara berusia 13 tahun untuk kemasukan kelas tingkatan satu. Sejak beroperasi, kita telah melahirkan seorang hafiz bernama Ahmad Lukman Arif Badri yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Beliau kini menyambung pelajaran di Maahad Tahfiz al-Quran Addin di Tapah, Perak. Beberapa pelajar lain menyambung pelajaran di Universiti Selangor (Unisel), menyertai program latihan kemahiran di Pusat GiatMara dan memasuki sekolah berasrama dengan mengambil aliran Tahfiz Sains serta Pengajian Islam di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi pelajar berjaya menghafal 30 juzuk dan lulus peperiksaan (SPM) di samping memiliki Sijil Azhariah Empat Thanawi, mereka layak melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir,” jelasnya.

Selain menghafaz al-Quran, beliau berkata, pelajar turut diajar mata pelajaran Fikah, Tauhid, Akhlak, Bahasa Arab dan Sejarah.

Menurutnya, kos pengurusan dan kelangsungan tahfiz berkenaan dibiayai sepenuhnya menerusi kutipan yuran pelajar selain dana wakaf serta zakat daripada orang ramai.

Yuran bulanan dikenakan kepada pelajar adalah sebanyak RM450 bagi tempoh 11 bulan setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN