Tangani dakwaan sijil akademik palsu secara serius - Utusan Malaysia

Tangani dakwaan sijil akademik palsu secara serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Dakwaan berhubung sijil akademik palsu yang dimiliki beberapa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu ditangani secara serius.

Hal ini kerana individu yang dilantik memegang jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan menteri besar atau ketua menteri adalah pemimpin kerajaan, justeru mereka harus menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau menzahirkan rasa kesal apabila terdapat beberapa pemimpin PH yang cuba mempertahankan rakan-rakan mereka yang didakwa memiliki sijil akademik palsu dengan memberikan perbandingan yang tidak munasabah.

“Saya ingin mempersoalkan pelantikan Datuk Marzuki Yahya itu berdasarkan kelayakan apa? Apakah itu bermakna seseorang boleh menipu orang lain dengan ijazah palsu hanya kerana tidak mencuri atau merogol.

“Kerajaan PH kena memperbetulkan keadaan ini selain menggesa Marzuki supaya melepaskan jawatan secara sukarela atau diberhentikan sementara siasatan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan status ijazah dimiliki Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar yang didakwa palsu sebelum diubah kepada nama universiti lain yang tidak diiktiraf oleh badan akreditasi pendidikan.

Pendedahan yang mendapat reaksi negatif pelbagai pihak itu walau bagaimanapun dipertahankan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menegaskan bahawa Marzuki dipilih menduduki jawatan tersebut bukan kerana kelayakan akademiknya.

Dalam kenyataan sama, Dominic mencadangkan supaya kepemimpinan tertinggi PH mengenal pasti tahap pendidikan setiap pemimpin melalui Lembaga Akredatasi Negara (LAN) sebelum melantik mereka memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Universiti pun akan mengenal pasti kelayakan akademik mana-mana calon sebelum mengambil mereka sebagai pensyarah, apatah lagi untuk jawatan menteri, timbalan menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN