Tak sempat selamat mangsa lemas - Utusan Malaysia

Tak sempat selamat mangsa lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG 8 Feb. – Seorang penduduk Kampung Tanjung, di sini terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan tiga sekeluarga yang mati lemas di Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena di sini semalam.

Saiful Akmal Ahmad Shaidi, 27, yang ketika itu turut mandi-manda bersama tujuh rakannya yang lain sedang bersiap-siap untuk pulang memandangkan ketika itu sudah menjelang waktu zuhur.

Bagaimanapun, semasa menuju ke motosikal, mereka terdengar jeritan me­minta tolong sebelum mendapati ada tiga orang remaja perempuan dalam keadaan tenggelam-timbul kira-kira 20 meter dari tebing sungai terbabit.

“Kami terus berpatah balik dan beberapa orang rakan termasuk saya nekad terjun untuk menyelamatkan mereka. Namun, disebabkan keadaan cemas saya juga hampir lemas apabila ditarik mereka yang semakin panik.

“Mujur, rakan lain sempat tarik saya ke tebing dan selamatkan salah seorang daripada mereka. Penduduk lain turut membantu mangsa yang diselamatkan itu sehingga kembali sedar.

“Tetapi, memang saya sendiri rasa serba salah kerana tidak dapat selamatkan kese­mua mereka dan tidur malam tadi pun sukar nak lelapkan mata kerana masih terbayang-bayang peristiwa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, Mohamad Ramli Ibrahim, 65; dan dua orang cucunya iaitu Nur Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan Nor Sariza Hafiza, 14, mati lemas selepas dihanyutkan arus deras.

Menurut Saiful Akmal, Mohamad Ramli yang mesra disapa Che Li oleh penduduk kampung pada mulanya berada di tebing sungai sebelum bertindak terjun untuk cuba menyelamatkan cucu-cucunya.

“Memang kami tak boleh buat apa-apa sebab air agak deras dan hanya mampu lihat mereka bertiga dihanyutkan arus sehinggalah pasukan bomba tiba,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN