Tak adil, beban rakyat - Utusan Malaysia

Tak adil, beban rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Tidak adil jika kerajaan memberi dua hukuman kepada pemandu yang hanya melakukan satu kesalahan di jalan raya.

Tindakan tersebut diyakini tidak akan memberi sebarang pengajaran kepada pesalah, sebaliknya hanya membebankan rakyat dan menimbulkan polemik yang boleh menjejaskan imej kerajaan.

Pakar Kejuruteraan Lalu Lintas dan Pengangkutan, Prof. Dr. Othman Che Puan berkata, le­bih baik kerajaan menyelaraskan terlebih dahulu pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) supaya objektif utama iaitu mengurangkan kemalangan maut dapat dicapai.

“Langkah kerajaan hendak mendisiplinkan pemandu itu memang bagus, tapi macam tak kena caranya jika dua hukuman diberikan atas kesalahan yang sama.

“Lebih baik wujudkan satu sahaja sistem pe­nguat­kuasaan undang-undang yang tegas bagi mendidik pemandu supaya patuh pada peraturan jalan raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Othman yang juga Dekan Space of Professional and Continuing Edu­cation (SPACE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, masih belum ada kajian terperinci yang membuktikan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dapat mengurangkan kemalangan.

Kata beliau, berdasarkan trend kebanyakan pemandu akan membawa kenderaan ma­sing-masing mengikut had laju ditetapkan 200 meter sebelum dan selepas lokasi pemasangan kamera AES.

“Malangnya, sebelum atau selepas daripada jarak tersebut pemandu memecut kenderaan masing-masing,” katanya.

Awas merupakan gabungan pelaksa­naan dua sistem iaitu Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya dan Sistem AES.

Pada 29 Januari lalu, Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas.

Selain itu katanya, 11 lagi kamera AES akan dipasang oleh PLUS Malaysia Berhad di sepanjang jajaran Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan loka­sinya masih dalam penelitian serta akan ditentukan Kementerian Pengangkutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN