KUALA LUMPUR 28 Feb. – Orang ramai khususnya golongan belia berpeluang menceburi bidang perniagaan dengan menghadiri Karnival Usahawan Muda Selangor (SYEC) 2019 yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Mac depan di Stadium Malawati Shah Alam.

Penganjurnya, Muhammad Farish Ismail berkata, karnival yang bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam itu berkonsepkan bazar, pameran dan interaksi.
“SYEC merupakan ‘focal point’ atau tempat berhimpun bagi 120 usahawan bazar dan ‘food truck’ serta mereka yang bercadang untuk menceburi bidang perniagaan.
“Selain berniaga dan mempromosi produk, pengunjung dan peserta berpeluang menyertai aktiviti- aktiviti seperti ceramah, pameran dan klinik dari pelbagai agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Pembangunan Keusahawanan (MASMED) mengenai teknik menjadi usahawan berjaya,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini. Karnival tersebut akan dirasmikan oleh Penaung SYEC, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Muhammad Farish berkata, 50 usahawan terpilih yang mengikuti bengkel sepanjang SYEC akan dihantar ke bengkel lanjutan (penjenamaan dan pemasaran) serta bimbingan secara berkala di bawah program ‘post engagement’ SYEC.
“Kursus lanjutan itu akan berlangsung selama tiga hari yang akan dikelolai oleh Educe Alchemy Sdn. Bhd,” ujarnya.
Dalam pada itu, ikon usahawan turut terlibat bagi berkongsi kejayaan mereka antaranya Caprice, Puteri Zarith, Abang Abu (Mekanik Wang) dan Hafiz Sam.
Bukan itu sahaja, tambahnya, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang karnival tersebut antaranya peraduan dan cabutan bertuah kepada pengunjung.
“Pesta buah-buahan dan pertandingan kopi tarik dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Harga buah-buahan yang ditawarkan juga jauh lebih murah daripada biasa dan terus datang dari ladang.
“Pertandingan makan pedas oleh penganjur dan Kids Zone,” ujarnya.
Turut memeriahkan karnival tersebut adalah persembahan dari artis antaranya Hael Husaini dan Art Fazil.-UTUSAN ONLINE










