Syarikat nafi kebakaran feri berpunca di bilik enjin - Utusan Malaysia

Syarikat nafi kebakaran feri berpunca di bilik enjin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 26 Feb. – Syarikat pengendali feri Dragon Star 1 menafikan kebakaran feri yang membawa 52 orang penumpang di Langkawi, semalam berpunca daripada bilik enjin.

Konsultan Dragon Star Shipping Sdn. Bhd., Mohd. Ramadhan Mohd. Yusof berkata, bilik enjin feri terbabit berada dalam keadaan yang baik dan selamat.

Menurut beliau, pihaknya juga mengikuti semua prosedur operasi tetap (SOP) sebelum memulakan sebarang operasi termasuk memeriksa enjin setengah jam sebelum feri itu memulakan perjalanan.

“Saya yakin kebakaran bukan berpunca daripada enjin kerana ia berkeadaan baik sebelum dan selepas kebakaran, sebaliknya kami menerima laporan bahawa asap dilihat daripada tandas.

“Malah, kami juga melepasi tahap pemeriksaan oleh Jabatan Laut sebelum berlayar serta sudah mengikuti semua SOP, walau bagaimanapun kami menanti hasil laporan pihak berkaitan untuk mengetahui puncanya,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, feri yang membawa 52 orang penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju ke Kuala Perlis itu terbakar pada jarak tiga kilometer dari pantai selepas bertolak kira-kira lima minit.   

Sehubungan itu, Mohd. Ramadhan memohon supaya siasatan dilaksanakan dengan adil dan saksama oleh Jabatan Laut dan pihak bomba selain mereka bersedia untuk memberikan kerjasama yang baik.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan penumpang terlihat asap dari arah bilik enjin sebelum feri berlepas dan memaklumkan tindakan pantas diambil dengan memberhentikan feri itu sebaik sahaja menyedari asap dari tandas.

“Asap hitam tidak semestinya berpunca daripada diesel tetapi tidak mustahil akibat  fiber. Apa-apa pun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi tetapi kita tunggu sahaja laporan siasatan,” ujarnya.

Beliau berkata, feri Dragon Star 1 yang berusia 22 tahun itu baru beroperasi di Langkawi dan telah melakukan lebih 20 perjalanan dalam tempoh lima hari tanpa sebarang masalah sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN