Suspek kes samun bersenjata lolos dari tahanan Imigresen  - Utusan Malaysia

Suspek kes samun bersenjata lolos dari tahanan Imigresen 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH – Seorang suspek kes samun bersenjata warga asing berjaya meloloskan diri ketika menerima rawatan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo dekat sini pagi semalam. 

Suspek, Muhammad Reza Pahlevi, 27, melarikan diri dengan memanjat bilik rawatan dan keluar melalui lubang angin bilik itu dengan tangan tidak bergari antara pukul 9.30 pagi hingga 10.25 pagi. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek warga Indonesia itu sepatutnya dibawa ke Johor Bahru, Johor untuk menghadapi dua pertuduhan kes samun bersenjata menggunakan parang yang dilakukannya pada tahun 2016.

“Sewaktu diiringi oleh pegawai Imigresen dari blok tahanan, suspek mengadu sesak nafas dan riak wajahnya pucat serta lemah menyebabkan dia terpaksa dibawa ke bilik rawatan. 

“Suspek yang berada dalam bilik pemeriksaan bagaimanapun disedari melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit berhampiran selepas salah seorang pegawai Imigresen wanita menjerit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, A. Asmadi berkata, berdasarkan maklumat terakhir diperolehi suspek dikatakan telah menaiki teksi menghala ke Melaka Sentral dan memberitahu pemandu teksi bahawa dia ingin ke Muar atau Pasir Gudang, Johor.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang ketika itu memakai baju putih dan berseluar pendek diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN