SABAK BERNAM 6 Feb. – Pasangan suami isteri nyaris rentung apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas terlebih dahulu merempuh tiang elektrik di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekinchan, di sini pagi ini.
Pasangan itu yang menaiki kereta jenis Toyota Corolla Altis sedang dalam perjalanan ke Sekinchan, apabila secara tiba-tiba hilang dan terbabas ke bahu jalan, seterusnya melanggar tiang elektrik, tetapi sempat keluar ketika kereta mereka mula terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Pegawai Bomba Kanan II, Omar Ali Saiffuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.18 pagi.
“Kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu terselamat. Bagaimanapun kenderaan terbabit musnah 90 peratus terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Omar Ali, seramai 11 anggota dan pegawai dengan sebuah jentera FRT serta sebuah jentera EMRS dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran .
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam kebakaran kereta tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE










