JAKARTA 14 Feb. – Ketua Harian Pasukan Kempen Nasional (TKN) Joko Widodo (Jokowi)-Ma’ruf Amin, Moeldoko mengakui mereka menggunakan strategi ‘perang besar-besaran’ bagi memperoleh kemenangan dalam pilihan raya Presiden (Pilpres) menentang gandingan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.
CNN Indonesia melaporkan, Moeldoko menyatakan TKN menyasarkan kemenangan buat Jokowi-Ma’ruf sebanyak 70 peratus dalam Pilpres yang bakal berlangsung pada April ini.
Jelasnya, TKN tidak hanya ingin Jokowi dan gandingannya menang secara tipis, sebaliknya menang secara majoriti berbanding Prabowo dan Sandiaga.
“Perang secara besar-besaran atau total merupakan istilah yang membawa maksud menggunakan semua sumber daya secara optimum bagi mencapai misi serta visi yang disasarkan.
“Kami di TKN mempunyai pelbagai sumber dan daya yang luar biasa untuk membantu Jokowi-Ma’ruf memenangi Pilpres kali ini,” katanya.
Selain itu, Moeldoko juga menjelaskan pelbagai sumber dan faktor akan diguna pakai dalam strategi TKN untuk Jokowi – Ma’ruf termasuk kewangan, penyokong kumpulan politik serta pasukan sukarelawan.
Jelas beliau, mengetahui atau menyedari tentang kekuatan sedia ada dapat membantu pasukan TKN meneliti semua sektor yang disasarkan untuk mencapai hasil maksimum.
Dalam pada itu, Naib Ketua TKN, Johnny G Plate melihat gandingan Prabowo dan Sandiaga tidak akan memperoleh sebanyak 63 peratus undian dalam Pilpres.
Tanggapan itu sekali gus mencabar kenyataan anggota Dewan Pengarah Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo-Sandiaga, Fadli Zon yang yakin pihaknya bakal menang dengan pungutan undi besar.
Beliau menyifatkan kenyataan Fadli itu sebagai ‘bermimpi di siang hari’.
Jelasnya, ramalan Prabowo-Sandiaga bakal memenangi 63 peratus undian tidak boleh dinilai secara akademik.
Hal demikian kerana perkara itu merupakan tinjauan yang dilakukan secara dalaman, selain menyatakan gandingan Jokowi dan Ma’ruf masih unggul ketika ini.











