KUALA LUMPUR 20 Feb. – Bekas perunding media kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Paul Geoffrey Stadlen didakwa tanpa kehadiran (‘in absentia’) atas tuduhan pengubahan wang haram.

Memetik laporan portal The Edge, sumber memaklumkan warga British itu didakwa di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut portal itu, pihak berkuasa akan memohon waran tangkap dan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) agar Stadlen dapat dibicara di Malaysia.
“Stadlen kini di luar negara, tetapi kita akan mendapatkan perintah yang sewajarnya (agar dapat dibicara di sini),” lapor The Edge hari ini.
Bekas Pengarah Urusan Apco Worldwide Malaysia itu dipercayai berdepan dakwaan melibatkan RM15 juta berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
13 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Stadlen, 39, yang dicari bagi membantu siasatan skandal 1MDB telah meninggalkan negara ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), Mei lalu. – UTUSAN ONLINE










