LONDON 14 Feb. – Pengendali Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino memberi tabik hormat kepada anak-anak buahnya selepas menundukkan Borussia Dortmund 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara, hari ini.
Pochettino juga percaya, sesetengah pihak terlalu memandang rendah keupayaan pasukannya, dan semua persepsi itu akan berubah selepas mereka membenam pendahulu Bundesliga, Dortmund.
Penjaga gol, Hugo Lloris muncul wira selepas menyelamatkan beberapa percubaan bahaya Dortmund, terutama pada babak pertama.
Bagaimanapun rentak permainan berubah pada separuh masa kedua apabila Son Heung Min membuka tirai jaringan pada minit ke-47, sebelum Jan Vertonghen (m-83) serta pemain gantian, Fernando Llorente (m-86) melengkapkan kemenangan selesa.
“Tahniah kepada pemain kerana menunjukkan kesungguhan dalam perlawanan hebat ini.
“Mereka adalah wira dan layak mendapat pujian,” kata Pochettino.
Walaupun akan berdepan Dortmund di Signal Iduna Park pada 5 Mac ini, namun kelebihan tiga gol menyaksikan mereka semakin hampir untuk ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2011.
“3-0 adalah keputusan yang baik tetapi ini baru aksi pertama,” ujar Pochettino lagi. – AGENSI










